Pages

Tuesday 22 December 2015

Ikhtiar

Entri 7

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Selepas mula bekerja, saya masih lagi sakit akibat CTS (Carpal Tunnel Syndrome).  Walaupun rawatan fisioterapi telah dibuat selama beberapa sessi, saya masih belum pulih sepenuhnya.

Saya mula mencari rawatan alternatif. Kak Suria, kawan saya mencadangkan agar saya mencuba rawatan akupuntur pula. Kak Suria yang pernah mengalami strok telah pulih selepas menjalani rawatan akupuntur. Rawatan ini lebih kepada melancarkan perjalanan darah di bahagian yang bermasalah.

Selepas mendapat lokasi dari Kak Suria, suami telah menghantar saya ke sana. Tempat ini berada di Temiang. Ramai yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Banyak kerusi-kerusi yang disediakan untuk para pengunjung. Saya lihat semua kaum berada di sana.

Ada yang datang dari jauh seperti Johor dan Kuala Lumpur. Mereka yang berkerusi roda pun ada. Saya dan suami duduk di kerusi yang disediakan. Suami juga ingin mencuba rawatan tersebut untuk sakit-sakit badan yang beliau alami.

Sebanyak 15 batang jarum telah dicucuk di sekitar tangan kanan saya. Ngeri juga saya pada mulanya. Selepas dicucuk dengan jarum, kami dibiarkan berehat selama lebih kurang 20 minit.

Selepas 20 minit, jarum-jarum tersebut telah dicabut satu persatu. Kami dikehendaki datang semula selepas beberapa hari. Rawatan ini perlu diulang sehingga sembuh. Bayaran yang dikenakan pula adalah sebanyak RM15.

Selain perlu meneruskan dengan senaman yang diajar oleh ahli fisioterapi, saya juga perlu mengawal pemakanan. Saya dinasihatkan untuk mengelak sayur-sayuran yang sejuk seperti kangkung. Semua jenis kacang juga perlu dielakkan buat sementara waktu. Ikan masin juga tidak digalakkan untuk makan.

Untuk kekal sihat, semua tunjuk ajar dan nasihat perlu dipatuhi. Mudah-mudahan ikhtiar saya membuahkan hasil, in shaa Allah....

No comments:

Post a Comment