Pages

Friday 27 November 2015

Diriku...

Entri 1

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tanggal 8hb Mac 1974, lahirlah anak ke-4 pasangan YM Raja Azman B. Raja Mohd Nor dan YM Tunku Rahiyah Bt Tunku Astor yang bernama Raja Nor Soraya. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang bersama-sama dengan 4 saudara yang lain.

Membesar dan menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan King George V seterusnya di Sekolah Menengah King George V. Sejurus mendapat keputusan SPM, berpeluang menjawat jawatan sebagai guru sandaran di sekolah asal iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan King George V. Diamanahkan untuk mengajar murid tahun satu hingga tiga dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Matematik dan Bahasa Inggeris. Pelbagai kenangan manis dan lucu dialami sepanjang bergelar guru sandaran.

Genap 6 bulan menjadi guru sandaran, mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Institut Perdagangan MARA, Melaka dalam bidang Cost Accounting. Usai mendapat sekeping sijil dalam Cost Accounting, menceburkan diri pula dalam bidang pekerjaan di salah sebuah kilang elektronik di Senawang. Sebagai orang baru dalam bidang pekerjaan di Jabatan Sumber Manusia, segala tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Penyelia dan rakan-rakan banyak membantu.

Sebagai orang muda yang penuh dengan sikap ingin tahu, bidang "training" pula menjadi karier yang seterusnya. Bertugas sebagai Pegawai Pemasaran, dikehendaki meluaskan pasaran "training" ke "Central Region". Sebagai Pegawai Pemasaran, penampilan dan kemahiran berkomunikasi amat dititik beratkan.  Pengalaman memandu jauh setiap hari untuk berjumpa dengan pegawai Sumber Manusia di kilang-kilang bagi memperkenalkan "training" yang ditawarkan membuka mata tentang jerih perih seorang"sales person". Bukan mudah untuk menarik orang menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan selain mendapat kepercayaan untuk memastikan kesinambungan perniagaan yang berterusan.

Sebelum mendirikan rumah tangga, pekerjaan yang lebih stabil di mana tidak perlu keluar mencari pasaran menjadi pilihan. Kerjaya sebagai ISO Clerk dan seterusnya sebagai ISO Coordinator di kilang plastik bertempat di Nilai membuka lembaran baru dalam hidup. Kepentingan memenuhi kehendak pelanggan dan memastikan penambahbaikan dalam sistem kualiti menjadi asas di mana-mana kilang yang inginkan perniagaannya berkembang dari masa ke semasa. Itulah yang dipelajari selama berada di kilang ini dan ianya merupakan proses pembelajaran yang berterusan sehingga kini.

Walaupun sibuk dengan kerja harian disamping memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang anak, ibu dan isteri, minat yang mendalam dalam pembuatan kek menjadikan ianya satu aktiviti yang menarik. Bermula dengan membawa kek yang dihasilkan sendiri ke kilang untuk dikongsi dengan rakan-rakan, secara tak langsung telah mewujudkan permintaan untuk pasaran kek. Antara kek yang pernah dihasilkan adalah kek chocolate moist, kek oren, kek marble, kek gula hangus, kek vanila dan kek batik. Puding buah juga turut dihasilkan. Kek yang mendapat tempahan ramai adalah kek chocolate moist dan kek batik. Tempahan yang diterima menggalakkan terutamanya di musim perayaan.

Antara buku yang menjadi pilihan di masa santai adalah buku motivasi dan buku keagamaan. Buku-buku karya Profesor Dr Muhaya, Dr HM Tuah, Ustaz Kazim Elias menjadi pilihan. Apa yang dapat disimpulkan melalui pembacaan selama ini adalah kita harus taat kepada perintahNya agar berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Peluang menyertai ABDR diharap dapat memberi manfaat yang sewajarnya. Sebagai seorang ibu dan isteri, masa yang diluangkan bersama keluarga amat bernilai. Tuntutan kerja yang mengkehendaki komitmen dan waktu kerja yang panjang membuat ABDR menjadi pilihan. Bercita-cita untuk bekerja dari rumah dalam masa yang sama dapat menjana pendapatan merupakan matlamat hidup yang seterusnya.

Perkenalan dengan Puan Nasriah Abdullah dan Puan Anys Idayu Zakaria diharap dapat memberi lebih nilai dalam kehidupan dan membentuk jaringan ukhuwah yang kuat sesama rakan ABDR.
Berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat disamping menjadi anak, ibu dan isteri yang terbaik merupakan destinasi hidup yang dituju. Melalui penyertaan di ABDR diharap destinasi ini dapat direalisasikan, in shaa Allah.