Pages

Tuesday 22 December 2015

Ikhtiar

Entri 7

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Selepas mula bekerja, saya masih lagi sakit akibat CTS (Carpal Tunnel Syndrome).  Walaupun rawatan fisioterapi telah dibuat selama beberapa sessi, saya masih belum pulih sepenuhnya.

Saya mula mencari rawatan alternatif. Kak Suria, kawan saya mencadangkan agar saya mencuba rawatan akupuntur pula. Kak Suria yang pernah mengalami strok telah pulih selepas menjalani rawatan akupuntur. Rawatan ini lebih kepada melancarkan perjalanan darah di bahagian yang bermasalah.

Selepas mendapat lokasi dari Kak Suria, suami telah menghantar saya ke sana. Tempat ini berada di Temiang. Ramai yang menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan. Banyak kerusi-kerusi yang disediakan untuk para pengunjung. Saya lihat semua kaum berada di sana.

Ada yang datang dari jauh seperti Johor dan Kuala Lumpur. Mereka yang berkerusi roda pun ada. Saya dan suami duduk di kerusi yang disediakan. Suami juga ingin mencuba rawatan tersebut untuk sakit-sakit badan yang beliau alami.

Sebanyak 15 batang jarum telah dicucuk di sekitar tangan kanan saya. Ngeri juga saya pada mulanya. Selepas dicucuk dengan jarum, kami dibiarkan berehat selama lebih kurang 20 minit.

Selepas 20 minit, jarum-jarum tersebut telah dicabut satu persatu. Kami dikehendaki datang semula selepas beberapa hari. Rawatan ini perlu diulang sehingga sembuh. Bayaran yang dikenakan pula adalah sebanyak RM15.

Selain perlu meneruskan dengan senaman yang diajar oleh ahli fisioterapi, saya juga perlu mengawal pemakanan. Saya dinasihatkan untuk mengelak sayur-sayuran yang sejuk seperti kangkung. Semua jenis kacang juga perlu dielakkan buat sementara waktu. Ikan masin juga tidak digalakkan untuk makan.

Untuk kekal sihat, semua tunjuk ajar dan nasihat perlu dipatuhi. Mudah-mudahan ikhtiar saya membuahkan hasil, in shaa Allah....

Thursday 10 December 2015

Kek

Entri 5

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Saya merupakan seorang " cake lover". Semua jenis kek saya makan tapi yang menjadi "favorite" saya adalah kek coklat, terutamanya "moist choclate cake". Ingat lagi semasa kecil dahulu. Makcik saudara saya yang saya panggil Mak Ngah kerap membuat kek. Kek coklat, kek marble, kek oren, kek vanila merupakan kek-kek yang Mak Ngah selalu buat.

Sekiranya beliau membuat kek, saya akan menjadi pemerhati beliau. Mak Ngah merupakan seorang yang agak "particular". Mak Ngah lebih "bersifat lone ranger". Beliau lebih senang membuat kerja bersendirian tanpa penglibatan orang lain.

Sekiranya Mak Ngah membuat kek saya akan duduk berdekatan memerhatikan segala tindak tanduk Mak Ngah. Bahagian yang paling saya suka ialah apabila Mak Ngah mengalihkan adunan kek ke dalam bekas kek. Saya akan menjilat saki baki kek yang ada pada senduk kek. Saya akan mengaut lebihan kek pada bekas adunan kek menggunakan jari....sungguh lazat rasanya! Bukan saya sahaja, kakak saya pun akan buat perkara yang sama....

Secara tak langsung, saya belajar cara membuat kek dari Mak Ngah. Saya telah mencuba membuat kek sendiri semasa saya berada di Darjah 6 ( Tahun 6 kalau sekarang). Saya mencuba pelbagai jenis kek. Kek buah 'prune', kek gula hangus, kek marble, kek vanilla dan yang paling menjadi tumpuan saya adalah kek coklat.

Kecintaan saya kepada kek tidak pernah pudar sehingga kini. Saya membuat pelbagai jenis kek dan membawanya ke pejabat untuk dimakan bersama rakan sekerja. Rakan-rakan akan memberi komen mereka tentang kek yang saya buat. Saya membuat lagi beraneka jenis kek. Kek oren, kek minyak dan kek karot merupakan tambahan kepada kek yang pernah saya buat.

Saya akan terus lagi mencuba lain-lain jenis kek. Saya suka makan kek dari dulu, kini dan selamanya :)

Wednesday 9 December 2015

CMD - Concentrated Mineral Drops

Entri 4

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Saya dahulu merupakan seorang yang mempunyai banyak masalah kesihatan. Antara masalah yang saya hadapi ialah susah hendak membuang air besar, sakit-sakit badan, banyak angin, muka berjerawat dan kedatangan darah haid yang tidak menentu. Bermacam-macam produk telah saya beli untuk dipakai dan makan tetapi kurang menampakkan hasil yang memuaskan.

Sehinggalah pada suatu hari apabila saya menghubungi semula rakan lama yang telah terputus hubungan selama 6 tahun iaitu Zanarita (nama panggilan Rita). Kami terputus hubungan selepas Rita mendirikan rumah tangga. Saya menghubungi rakan setempat kerja Rita iaitu Shary untuk bertanyakan tentang Rita. Selepas mendapat nombor telefon, saya terus menghubungi Rita.

Perbualan kali pertama selepas 6 tahun terputus hubungan amat menggembirakan. Kami saling menghubungi selepas itu. Kami banyak berkongsi tentang kehidupan masing-masing sehinggalah saya menceritakan tentang masalah kesihatan saya pada Rita.

Beliau mencadangkan saya mengguna CMD - Concentrated Mineral Drops keluaran syarikat Revell.
CMD ialah 100% SEMULAJADI ASLI dari titisan air dari Mata Air Great Salk Lake. Tasik ini berada 1000km jauh dari bandar. Tiada pencemaran, dikelilingi gunung. Air hanya masuk tapi tidak mengalir keluar. Begitu hebat ciptaan Allah. Air dari tasik inilah yang berkhasiat untuk kita gunakan dan amalkan dalam kehidupan seharian kerana ianya kaya dengan mineral makro dan mikro yang pekat. Air tasik ini diekstrak dan disejat secara solar dan ditapis dan dipasteur secara semulajadi.

Saya mula menggunakan CMD pada 3hb Julai 2015. Alhamdulillah banyak perubahan positif yang berlaku semenjak saya mengambil CMD. Di bawah merupakan perkara "sebelum" dan "selepas" saya mengguna CMD.

    Sebelum                                                                               Selepas
1) Susah hendak membuang air besar                                 1) Membuang air besar 2 hari sekali
    (seminggu sekali)
2) Sakit-sakit badan                                                             2) Sakit-sakit badan berkurangan
3) Jerawat                                                                            3) Jerawat mengecil
4) Kedatangan darah haid tak menentu                               4) Kedatangan darah haid tetap

Saya sangat bersyukur atas peningkatan kesihatan saya selepas menggunakan CMD. Saya turut memberi CMD kepada anak lelaki saya, Muhammad Zafran yang berumur 11 tahun. Zafran dahulunya kerap bersin setiap pagi, kurang selera makan dan kurang bertenaga. Alhamdulillah asbab menggunakan CMD kesemua masalah anak saya dapat diatasi.

Saya makin teruja apabila mendapati CMD dapat merawat bermacam jenis penyakit. CMD juga boleh digunakan pada tumbuhan dan haiwan. Testimoni-testimoni yang merangsangkan amat menarik perhatian saya. Saya juga turut berkongsi tentang kelebihan CMD dengan ahli keluarga dan rakan taulan.

CMD bukan sahaja dapat merawat, malahan ianya dapat memberi pulangan yang memuaskan untuk mereka yang minat berniaga.

Saya akan berkongsi lagi tentang kelebihan-kelebihan CMD dalam entri saya yang akan datang.




Tuesday 8 December 2015

Mencari rezeki

Entri 2

Teks : Raja Nor Soraya Raja Azman

Ahli keluarga saya ke semuanya makan gaji. Tiada seorang pun yang membuka perniagaan sendiri. Sedari dari dulu lagi kita didedahkan dengan makan gaji. Bekerja 26 hari sebulan, hujung bulan dapat gaji. Ada yang mendapat gaji 2 kali sebulan, macam saya. Duit yang dapat digunakan untuk membayar segala macam tanggungan.

Membayar bil elektrik, air, astro, telefon, cukai pintu, cukai tanah, duit ansuran kereta, rumah, kad kredit dan segala macam bil. Ini belum termasuk lagi perbelanjaan harian seperti belanja dapur, barang basah, maintenance kereta, maintenance rumah, minyak kereta, belanja sekolah anak, yuran sekolah, pengangkutan sekolah anak dan bermacam jenis bayaran lagi.

Kadang-kadang nak menyimpan pun tak dapat disebabkan segala macam tanggungan dan bil yang harus dijelaskan. Senario makan gaji ni memang macam tu lah agaknya ye....

Bukan mudah nak mencari makan sebenarnya. Segala macam ujian dan cabaran harus ditempuh. Kesabaran, keikhlasan dan konsistensi penting agar segala usaha mendapat tempat di sisi Allah SWT.
Anak-anak harus dididik untuk menerapkan segala nilai-nilai murni yang disebutkan di atas di dalam kehidupan seharian. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi contoh terbaik kepada anak-anak.

Walau kerja apa pun yang kita buat untuk menyara hidup,kerja tersebut mestilah halal. Kerja yang halal walaupun sedikit pulangannya akan diberkati Allah SWT.

Sama-samalah kita berusaha mencari rezeki yang halal lagi berkat. Semoga Allah memudahkan segala urusan kita dunia dan akhirat....

Friday 27 November 2015

Diriku...

Entri 1

Teks : Raja Nor Soraya Bt Raja Azman

Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tanggal 8hb Mac 1974, lahirlah anak ke-4 pasangan YM Raja Azman B. Raja Mohd Nor dan YM Tunku Rahiyah Bt Tunku Astor yang bernama Raja Nor Soraya. Dibesarkan dengan penuh kasih sayang bersama-sama dengan 4 saudara yang lain.

Membesar dan menetap di Seremban, Negeri Sembilan. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan King George V seterusnya di Sekolah Menengah King George V. Sejurus mendapat keputusan SPM, berpeluang menjawat jawatan sebagai guru sandaran di sekolah asal iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan King George V. Diamanahkan untuk mengajar murid tahun satu hingga tiga dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Matematik dan Bahasa Inggeris. Pelbagai kenangan manis dan lucu dialami sepanjang bergelar guru sandaran.

Genap 6 bulan menjadi guru sandaran, mendapat peluang melanjutkan pelajaran di Institut Perdagangan MARA, Melaka dalam bidang Cost Accounting. Usai mendapat sekeping sijil dalam Cost Accounting, menceburkan diri pula dalam bidang pekerjaan di salah sebuah kilang elektronik di Senawang. Sebagai orang baru dalam bidang pekerjaan di Jabatan Sumber Manusia, segala tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Penyelia dan rakan-rakan banyak membantu.

Sebagai orang muda yang penuh dengan sikap ingin tahu, bidang "training" pula menjadi karier yang seterusnya. Bertugas sebagai Pegawai Pemasaran, dikehendaki meluaskan pasaran "training" ke "Central Region". Sebagai Pegawai Pemasaran, penampilan dan kemahiran berkomunikasi amat dititik beratkan.  Pengalaman memandu jauh setiap hari untuk berjumpa dengan pegawai Sumber Manusia di kilang-kilang bagi memperkenalkan "training" yang ditawarkan membuka mata tentang jerih perih seorang"sales person". Bukan mudah untuk menarik orang menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan selain mendapat kepercayaan untuk memastikan kesinambungan perniagaan yang berterusan.

Sebelum mendirikan rumah tangga, pekerjaan yang lebih stabil di mana tidak perlu keluar mencari pasaran menjadi pilihan. Kerjaya sebagai ISO Clerk dan seterusnya sebagai ISO Coordinator di kilang plastik bertempat di Nilai membuka lembaran baru dalam hidup. Kepentingan memenuhi kehendak pelanggan dan memastikan penambahbaikan dalam sistem kualiti menjadi asas di mana-mana kilang yang inginkan perniagaannya berkembang dari masa ke semasa. Itulah yang dipelajari selama berada di kilang ini dan ianya merupakan proses pembelajaran yang berterusan sehingga kini.

Walaupun sibuk dengan kerja harian disamping memenuhi tuntutan tanggungjawab sebagai seorang anak, ibu dan isteri, minat yang mendalam dalam pembuatan kek menjadikan ianya satu aktiviti yang menarik. Bermula dengan membawa kek yang dihasilkan sendiri ke kilang untuk dikongsi dengan rakan-rakan, secara tak langsung telah mewujudkan permintaan untuk pasaran kek. Antara kek yang pernah dihasilkan adalah kek chocolate moist, kek oren, kek marble, kek gula hangus, kek vanila dan kek batik. Puding buah juga turut dihasilkan. Kek yang mendapat tempahan ramai adalah kek chocolate moist dan kek batik. Tempahan yang diterima menggalakkan terutamanya di musim perayaan.

Antara buku yang menjadi pilihan di masa santai adalah buku motivasi dan buku keagamaan. Buku-buku karya Profesor Dr Muhaya, Dr HM Tuah, Ustaz Kazim Elias menjadi pilihan. Apa yang dapat disimpulkan melalui pembacaan selama ini adalah kita harus taat kepada perintahNya agar berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Peluang menyertai ABDR diharap dapat memberi manfaat yang sewajarnya. Sebagai seorang ibu dan isteri, masa yang diluangkan bersama keluarga amat bernilai. Tuntutan kerja yang mengkehendaki komitmen dan waktu kerja yang panjang membuat ABDR menjadi pilihan. Bercita-cita untuk bekerja dari rumah dalam masa yang sama dapat menjana pendapatan merupakan matlamat hidup yang seterusnya.

Perkenalan dengan Puan Nasriah Abdullah dan Puan Anys Idayu Zakaria diharap dapat memberi lebih nilai dalam kehidupan dan membentuk jaringan ukhuwah yang kuat sesama rakan ABDR.
Berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat disamping menjadi anak, ibu dan isteri yang terbaik merupakan destinasi hidup yang dituju. Melalui penyertaan di ABDR diharap destinasi ini dapat direalisasikan, in shaa Allah.